Khamis, 29 September 2016

Pil Tahan Sakit


Pil tahan sakit punca jantung gagal berfungsi: Kajian


NSAIDs
Pil tahan sakit yang dikategorikan sebagai NSAIDs.
PARIS, Khamis – Satu kajian mendapati pil tahan sakit yang dikategorikan sebagai Non Steroidal Anti Inflammatory Drugs (NSAIDs) adalah faktor utama kepada peningkatan risiko kemasukan ke hospital kerana kegagalan jantung.
Menurut penyelidik, kandungan kimia yang terdapat dalam pil tahan sakit dikenali sebagai enzim Cyclooxygenase (COX-2 inhibitor).
Enzim ini biasa digunakan dalam penghasilan ubat-ubatan bagi mengurangkan kesakitan dan keradangan yang telah diperkenalkan sejak abad lalu dengan pemeriksaan keselamatan yang minimum.
Namun, penggunaan NSAIDs dalam ubatan telah diketahui umum selepas kajian mendapati kesannya boleh menyebabkan jantung gagal berfungsi dan berisiko tinggi tetapi kadar sukatan dos masih belum diketahui.
Pasukan penyelidik dari Universiti Milano-Bicocca, diketuai oleh Giovanni Corrao telah menjalankan kajian terhadap 10 juta pengguna NSAIDs di empat negara Eropah iaitu Jerman, Britain, Belanda dan Itali.
“Seramai 92,163 pesakit direkodkan mengalami kegagalan jantung dan setiap daripada mereka telah mengambil 27 ubat pada dos yang berbeza.
“Secara keseluruhan, kami mendapati pengguna NSAIDs telah meningkatkan risiko kemasukan ke hospital berbanding penggunaan masa lalu dengan kegunaan sebanyak sembilan ubat iaitu diclofenac, ibuprofen, indomethacin, ketorolac, naproxen, nimesulide, piroxicam, COX 2 inhibitor, etoricoxib dan rofecoxib,” kata pasukan penyelidik.
Perunding penyakit kardiovaskular Persatuan Farmasi Diraja Britain, Heleh William berkata, Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan di Britain telah beralih daripada penggunaan NSAIDs di negara ini sejak beberapa tahun lalu.
Bagaimanapun, pakar jantung Denmark, Gunnar Gislason dan Torp-Pedersen mengesyorkan penggunaan ubat diclofenac kepada pesakitnya tanpa mengehadkan dos. – Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan