GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa supaya pihak berkuasa segera mengharamkan penggunaan racun herba berasaskan glyphosate.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), SM Mohamed Idris berkata, ia didapati berbahaya kepada manusia dan hidupan liar selain mencemarkan alam sekitar.
Menurutnya, bahan itu digunakan sebagai racun rumpai dan di sembur pada tanaman sebagai bahan pengering sebelum dituai.
“Di Malaysia terdapat kira-kira 172 produk racun herba yang mengandungi glyphosate.
“Sementara negara seperti El Savador pula bertindak mengharamkan glyphosate selepas kajian terbaru mengaitkan racun herba ini dengan penyakit ginjal kronik yang membawa maut (CKDu).
“Penyakit ini dilaporkan menjadi penyebab kematian kedua paling utama dalam kalangan kaum lelaki di negara-negara miskin seperti Sri Lanka dan El Savador,” katanya.
Mohamed berkata, di Malaysia kira-kira 2.5 juta penduduk mengalami masalah penyakit ginjal.
Menurutnya, pada ketika ini, terdapat kira-kira 30,000 pesakit menjalani dialisis dan angka ini terus meningkat kira-kira 5,000 hingga ke 6,000 pesakit setahun.
"Malah pada setiap tahun kira-kira 10 peratus pesakit dialisis meninggal akibat ketiadaan penderma organ.
“Jadi, jika ia terus digunakan, kemungkinan angka-angka pesakit ginjal akan semakin meningkat," katanya.
Katanya, tahun lalu CAP telah mengetengahkan perkara ini kepada Kementerian Pertanian.
"Namun mereka memaklumkan bahawa ia tidak akan diharamkan.
"Antara alasan pihak kementerian ialah racun ini telah digunakan di Malaysia selama lebih 40 tahun secara meluas dalam sektor perladangan dan petani berskala kecil serta kadar keracunannya lebih rendah berbanding racun herba lain," katanya.
Mohamed menjelaskan, glyphosate semakin banyak dikaitkan dengan masalah kesihatan seperti kemandulan, kecacatan bayi ketika lahir, kerosakan sistem saraf, penyakit parkinson dan beberapa jenis kanser.
“Penggunaan racun herba ini begitu meluas kerana ia merupakan racun rumpai yang mengubah jagung dan kacang soya secara genetik untuk bertahan dalam apa jua keadaan,” katanya.
Sehingga Disember 2015, glyphosate telah diharamkan di beberapa negara Eropah, Amerika Utara, Amerika Latin dan Asia.
Mohamed yang juga Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM) itu menegaskan sudah jelas penggunaan racun herba glyphosate boleh menjejaskan kesihatan.
“Sewajarnya ia diharamkan atau dikeluarkan secara berperingkat-peringkat di seluruh dunia dan Malaysia seharusnya mencontohi langkah ini.
“Sehubungan kadar keracunannya, CAP menggesa Kementerian Pertanian mengharamkan segera dan sektor pertanian pula perlu berusaha menyingkirkan penggunaan bahan kimia bertoksik dan bergerak ke arah penggunaan kaedah pengeluaran hasil pertanian organik,” katanya.